Aidilfitri: Sehari atau Sebulan?


Selamat Hari Raya Aidilfitri, ucapan yang disampaikan pada masanya dan untuk semua yang meraikannya setelah habis bulan Ramadhan dan berjaya berpuasa serta menunaikan amal ibadah dan khidmat bakti semaksimanya pada bulan tersebut.

Orang kita selalu ungkapkan bahawa Aidilfitri disambut selama sebulan Syawal. Perkara itu benar dari segi adat. Norma masyarakat kita yang ingin meneruskan tradisi Aidilfitri di sepanjang bulan Syawal serta ingin kukuhkan dan kekalkan perpaduan, persaudaraan serta semangat kemasyarakatan menyebabkan definisi tersebut diterima pakai oleh umum.

Hakikatnya, dari segi syariat, Aidilfitri disambut hanya selama sehari. Kamus Dewan secara jelas mendefinisikan Aidilfitri sebagai hari raya yang disambut pada 1 Syawal setiap tahun Hijri sebagai meraikan tamatnya bulan puasa.

Bukan sahaja Ulama Fiqh yang menyokong, bahkan terlebih dahulu mewujudkan definisi ini dalam Kamus Mustalahat Fiqhiyyah, tetapi juga satu Hadis Rasulullah SAW yang telah lama dahulu menerangkan sambutan hari raya ketika zaman Jahiliyyah (Zabir dan Mahrajan) lalu menggantikannya dengan dua hari raya yang disyariatkan untuk umat Islam (Aidilfitri dan Aidiladha).

Pada sehari Aidilfitri itulah, kita disyariatkan untuk melaungkan takbir, tahmid dan tasbih, menunaikan Solat Sunat Hari Raya berjemaah di masjid atau dataran lapang sambil mendengar Khutbah Hari Raya, bersalam-salaman dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga, kaum kerabat, jiran tetangga, guru-guru serta sahabat handai, kunjung-mengunjung, mengucapkan selamat dan doa untuk kebaikan semua yang masih hidup.

Begitulah jua dengan Aidiladha dengan tambahan tiga Hari Tasyrik. Sepanjang 4 hari tersebut, bukan sahaja disunatkan melaungkan takbir, tasbih dan tahmid, tetapi juga untuk menyembelih binatang korban lalu mengagihkannya kepada masyarakat, terutamanya fakir miskin. Malah, tiada masalah pun tradisi Aidilfitri diteruskan pada Aidiladha dan tiga Hari Tasyrik yang lain. 

Sudah terang lagi bersuluh dua perkara. Pertama, Aidilfitri secara syariatnya hanyalah sehari walaupun secara adat kita teruskan sampai habis bulan Syawal. Jikalau Aidilfitri disyariatkan selama sebulan, pasti laungan takbir disyariatkan sepanjang bulan, dan pasti jugalah umat Islam diharamkan berpuasa sepanjang bulan Syawal, walhal tidak pernah sama sekali diharamkan berpuasa pada bulan Syawal kecuali pada Hari Raya Aidilfitri, bahkan Rasulullah SAW menganjurkan puasa enam hari di bulan Syawal sebagai melengkapkan fadhilat puasa sepanjang bulan Ramadhan.

Kedua, Aidiladha lebih dimuliakan berbanding Aidilfitri. Syariat itu sendiri yang menentukan kedudukan kedua-dua perayaan Islam tersebut seperti itu dengan alasan dan sejarah yang tersendiri. Jikalau Aidilfitri diperingati sebagai hari kembali kepada fitrah setelah sebulan Ramadhan berpuasa, Aidiladha diperingati kerana pengorbanan Nabi Ibrahim AS mengorbankan Nabi Ismail AS.

Begitu pun, tiada apa-apa yang menghalang orang kita meneruskan tradisi rumah terbuka serta kunjung-mengunjung sepanjang bulan Syawal. Kita teruskan sebolehnya kerana inilah keunikan Malaysia dan rakyatnya yang majmuk. Cuma, kita harus ingati, setelah Aidilfitri adalah semata-mata sambutan bulan Syawal, bulan yang sama kita boleh mendapat pahala puasa setahun dengan berpuasa sunat selama enam hari.

Semoga amal ibadah dan khidmat bakti terbaik kita di bulan Ramadhan diterima Allah, diteruskan istiqamah kita untuk meneruskannya pada 11 bulan Hijri yang lain, serta dengan usaha kita menjalinkan dan mengekalkan silaturrahim, persahabatan, persaudaraan dan perpaduan, hubungan kita semua secara peribadi, profesional mahupun komuniti dikekalkan dan direstui Allah SWT.

Comments

  1. Sehari ke dua hari tuan? Saya keliru

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sehari untuk EidulFitri, sehari lagi untuk EidulAdha.

      Delete

Post a Comment