Refleksi Ramadhan


Kedatangan bulan Ramadhan pada setiap tahun Hijrah amatlah menggembirakan umat Islam. Apa tidaknya, Ramadhan sarat dengan janji agung dan tawaran hebat. Meski bulan Ramadhan datang dengan kewajipan berpuasa selama sebulan serta kewajipan menunaikan zakat fitrah, datangnya pasti dirindukan mahupun dinantikan mereka yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Ramadhan luar biasa dibandingkan dengan 11 bulan Hijri yang lain. Kedatangannya dinanti bukanlah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah SWT, tetapi kemuliaan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan, kemeriahan bulan Ramadhan itu sendiri serta ganjaran berlipat kali ganda yang Allah SWT tawarkan; belum termasuk segala yang di luar senarai dini Ramadhan, yakni pasar Ramadhan yang menjual segala hidangan berbuka puasa, serta gerai-gerai yang menjual persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sepanjang bulan Ramadhan, kita bukan sahaja berpuasa selama sebulan, tetapi juga menunaikan zakat fitrah, membaca al-Quran, memperbanyakkan zikir dan selawat ke atas Nabi, menuntut ilmu, menunaikan Solat Tarawih, beribadah di sepertiga malam terakhir, memperbanyakkan sedekah, menyantuni mereka yang tidak bernasib baik, serta memperbanyakkan lagi amal ibadah dan khidmat bakti yang dilakukan di luar bulan Ramadhan.

Pasti kita bergembira dengan Ramadhan dan kemuliaannya, bukan sahaja kerana pahala yang berganda-ganda yang diterima, tetapi juga kerana kita lakukan itu semua secara bersama-sama. Lebih bermakna jika kita hidupkan bulan Ramadhan dengan penuh keikhlasan, apatah lagi jika Allah izinkan kita bertemu dengan Lailatul Qadar dan menghidupkannya dengan segala amal ibadah, doa dan pengharapan. Mudah-mudahan Allah terima amalan kita semua dan mengganjarkan kita semua dengan rahmat dan keampunan-Nya serta kelepasan dari api neraka.

Mereka yang bahagia untuk bersama bulan Ramadhan lalu memeriahkannya dengan segala amal ibadah dan khidmat bakti pasti tidak mahu berpisah dengannya. Seperti baru hari itu kita ucapkan selamat datang kepada bulan Ramadhan sambil mengharapkan rahmat Allah dan keampunan-Nya serta kelepasan daripada api neraka, masanya sudah sampai untuk kita ucapkan selamat jalan kepada bulan Ramadhan, dengan harapan agar kita dilanjutkan usia untuk sampai ke bulan Ramadhan yang berikutnya.

Sama ada kita masih berada di bulan Ramadhan atau sudah meninggalkan Ramadhan, mari kita ambil kesempatan untuk mengimbau kembali segala yang telah kita lakukan dan kerjakan di bulan Ramadhan. Kepada mereka yang selama ini telah hidupkan Ramadhan dengan sebaiknya, lebih-lebih lagi mereka yang menemui titik perubahan dalam kehidupan, kita ucapkan setinggi-tinggi tahniah. Semoga Allah kekalkan istiqamah yang ditanam dalam diri-diri mereka sepanjang Ramadhan masih menjengah.

Kepada mereka yang merasa sebaliknya, jangan sedih mahupun kecewa. Berterima kasihlah kepada Allah SWT kerana sudah diizinkan untuk berada di bulan Ramadhan. Yang penting, kita sudah berikan yang terbaik untuk diri kita sepanjang bulan yang mulia ini.

Perginya bulan Ramadhan bukanlah bermakna kita tinggalkan segala-galanya hingga kita bertemu Ramadhan seterusnya. Selama mana kita mengharapkan keredhaan Allah SWT, selama itulah kita meneruskan amal ibadah dan khidmat bakti. Marilah kita berdoa, mudah-mudahan Allah kekalkan semangat kita untuk melakukan kebaikan pada 11 bulan yang berikutnya, terima segala amal ibadah dan khidmat bakti kita, serta restui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayang-Nya.

Comments