Sempena Ulangtahun Kelahiran


Tahun-tahun lepas masih segar dalam ingatan. Girang rasanya apabila ucapan selamat yang dikirimkan ke media sosial (terutamanya Facebook) tidak datang hanya daripada ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat-sahabat dekat, malah daripada orang-orang besar, termasuk Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, seorang dua daripada mereka merupakan Anggota Pentadbiran di peringkat masing-masing.

Tapi, itu hanya kisah silam. Tidak sama kisah lima tahun sudah dengan kisah tahun ini. Kisah-kisah tersebut hanya tinggal nostalgia dan pengajaran di masa kini dan masa muka. Kini, suasana media sosial sudah berbeza, tahap hubungan juga berbeza, persepsi pun sudah tidak sama, apatah lagi cita dan cinta yang sentiasa berubah-ubah. Sejauh mana pun kita berharap sesuatu keadaan berkekalan untuk suatu tempoh lagi, hakikatnya sesuatu keadaan sentiasa berubah dan berkembang.

Tidak semua mengingati hari ulangtahun kelahiran seseorang. Tidak mengapalah mereka yang betul-betul tidak tahu atau lupa bila hari lahir kita walaupun mereka itu orang-orang yang sangat dekat dengan kita. Malangnya, ada dalam kalangan orang-orang yang rapat dengan kita yang tahu bila hari lahir kita tetapi buat-buat lupa mahupun sengaja melupakannya sama ada dengan alasan yang munasabah mahupun tidak.

Kebetulan ketika tulisan ini dinukilkan, ramai mahasiswa universiti saya (termasuk orang-orang dekat serta rakan-rakan saya) sedang menjalani latihan industri di tempat masing-masing. Yang bekerja terus bekerja, yang bersekolah terus menuntut ilmu di sekolah masing-masing. Rakan-rakan di universiti awam lain baru mahupun sedang berada dalam musim peperiksaan. Yang paling utama, Ramadhan masih menjengah, ramai sedang tekun pada amal ibadah, semuanya mengharap pada gandaan rahmat dan maghfirah.

Biarlah mereka; kerana ingat atau tidak seseorang itu kepada hari lahir kita bukanlah ukuran sebenar kepada hubungan yang dibina, tetapi tahap dan tempoh pengertian, penerimaan dan kesetiaan seseorang kepada seseorang yang lain. Walaupun berat, kita harus terima keadaan tersebut, kerana tanggungjawab untuk memperingati hari ulangtahun kelahiran terletak pada diri sendiri serta ibu bapa yang melahirkan kita.

Di hadapan kita, kita sentiasa ada tiga pilihan, sama ada untuk terus mengerti, menerima dan setia dengan orang dekat tersebut, atau untuk biarkan hubungan berlalu mengikut masa tanpa sedikit pun menjejaskan hubungan tersebut, atau untuk tinggalkan sahaja orang tersebut walaupun berat dan melukakan.

Tidak semua orang dekat mampu dan mahu menghargai mahupun berterima kasih dengan kita atas pengertian, penerimaan mahupun kesetiaan yang kita kongsikan dengan mereka. Panduannya mudah, serahkan kepada Allah SWT.

Biarlah Allah SWT yang berterima kasih kepada kita bagi pihak orang tersebut, dan biarlah Allah SWT yang membalas semua itu dengan rahmat, keampunan dan kasih sayang-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kaya, hamba-Nya yang sentiasa meminta kepada-Nya, tanpa jemu memberi segala-galanya.

Sempena ulangtahun kelahiran saya, saya tidak meminta mahupun mengharapkan apa-apa. Hanya sekadar ingin berterima kasih kepada semua yang telah menjadi hiasan kepada kehidupan saya selama ini. Walaupun banyaklah waktu saya bersendiri, hakikatnya saya tidak mampu hidup bersendiri.

Kepada ayahbonda dan seisi keluarga yang menjaga serta membesarkan diri ini, para pendidik yang mengenalkan saya dengan dunia dan akhirat, begitu jua sahabat handai yang sudi meniti hari-hari yang ada bersama saya, apatah lagi semua orang dekat yang telah dan masih berkongsi kehidupan dengan diri ini, terima kasih banyak-banyak. Kelak Allah SWT membalas jasa dan budi kalian dengan ganjaran berlipat kali ganda.

Terima kasih juga diucapkan kepada semua yang mengirim ucapan selamat sempena ulangtahun kelahiran saya. Hanya doa saya panjatkan kepada-Nya; semoga Allah lanjutkan usia diri ini dalam taqwa dan bahagia, murahkan rezeki diri dan keluarga, mudahkan segalanya buat diri ini di hari muka, ampunkan segala noda dan dosa diri ini dulu, kini dan selamanya, temukan jodoh dan kehidupan yang membahagiakan secepatnya, kekalkan dan teguhkan cinta dan kasih sayang yang terjalin meski ada yang menghalangi, dan restui diri ini dan semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayang-Nya.

Comments