Dari Bangku Sekolah: Mensyukuri Malaysia, Memperingati al-Aqsa


"Saudara dan saudari masih di bangku persekolahan; saya pula masih di bangku universiti. Kita tak mampu untuk pergi ke sana, berjuang bersama mereka. Maka, di sekolah inilah kita meneruskan perjuangan."

Madam Vice Principal, heads of academic departments, distinguished teachers, President Mohamad Syazraie, President-designate Muhammad Syahiran, members of the school student leadership, brothers and sisters, friends: I intentionally start my maiden speech in English because I want you to change your mind.

If, next time, you see an Ustaz or Ustazah speaks English, let me tell you: Islamic Education and Arabic Language teachers can now speak English because we don’t do Dakwah to locals only, but also to internationals. We must now be glocal: a local with international mind, so, please change your mind.

Pertamanya, marilah kita sama-sama memanjatkan puji dan syukur ke hadrat Allah SWT. Izin dan rahmat-Nya membolehkan kita berkumpul di sini, bukanlah kerana saya dan bukanlah kerana sesiapa, tetapi kerana inginkan ilmu yang bermanfaat.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada sekolah kerana mengizinkan saya menyampaikan ucapan pertama saya di hadapan sekolah, di dewan yang mulia ini. Pada masa yang sama, marilah kita berterima kasih kepada Allah SWT atas segalanya yang dilimpahkan ke atas Malaysia dan rakyatnya.

Walaupun banyak cabaran yang menimpa kita dan tanah air kita, kita masih diizinkan untuk menikmati kehidupan yang mewah. Saat ini, ibu bapa kita mungkin sedang memandu kenderaan sendiri mahupun menaiki pengangkutan awam untuk ke tempat kerja mahupun pusat perniagaan.

Seperti kalian, para pelajar sekalian, kalian hari ini datang ke sekolah seperti biasa dan pada waktunya, berkumpul di dewan yang mulia ini untuk meneruskan hari persekolahan. Tahniah saya ucapkan kepada semua yang berjaya hadir ke sekolah pada hari ini.

Berterima kasihlah kepada Allah SWT. Ini semua rahmat dan kasih sayang yang Allah SWT limpahkan kepada kita semua. Keamanan dan kemakmuran yang Malaysia dan rakyatnya kecapi, hari ini, membolehkan kita melakukan segala-galanya.

Hari ini, kita masih dapat melihat masjid-masjid dan surau-surau di daerah Gombak dan negeri Selangor ini masih hidup. Di tempat lain, belum tentu. Berterima kasihlah kepada Allah SWT; itu juga merupakan rahmat dan kasih sayang-Nya kepada kita semua. Tetapi, jangan kita lupa. Kita masih ada sahabat yang memerlukan perhatian dan pertolongan kita: Palestin.


Palestin jauh di mata tapi amat dekat di hati kita, umat Islam dan rakyat Malaysia, kerana di dalamnya ada Masjid al-Aqsa. Apa signifikannya Masjid al-Aqsa kepada kita semua?

Masjid al-Aqsa merupakan masjid suci yang ketiga selepas Masjid al-Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Jikalau pasukan keselamatan serta rakyat Arab Saudi mampu mempertahankan Masjid al-Haram dan Masjid an-Nabawi, kenapa tidak untuk Masjid al-Aqsa? Apa bezanya Masjid al-Aqsa dengan Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi?

Memang fadilat bersolat di kesemua masjid tersebut berbeza. Tetapi, taraf kesemua masjid tersebut sama bertaraf tanah haram. Penjaga masjid-masjid tersebut juga berbeza. Penjaga Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi adalah Raja Salman, Raja Arab Saudi, manakala penjaga Masjid al-Aqsa pula adalah Raja Abdullah II, Raja Jordan.

Begitu pun, kita tidak boleh biarkan Raja Abdullah II dari Jordan menjaga masjid tersebut dengan sendirinya, apatah lagi ketika masjid tersebut berada di tangan penjajah. Oleh sebab itulah, masjid tersebut ditadbir oleh sebuah badan wakaf. Pada zaman para Sahabat RA, Masjid al-Aqsa diisytiharkan sebagai wakaf kepada umat Islam di seluruh dunia. Oleh sebab itulah, Masjid al-Aqsa perlu kita pertahankan sama-sama.

Jikalau kita bertanya kepada warga Palestin masa kini, nanti mereka jawab, “Biarlah kami berjuang sendiri untuk Masjid al-Aqsa dan tanah air.” Tetapi, kita jangan biarkan mereka berjuang sendiri. Jangan juga kita biarkan mereka menyanyikan lagu patriotik mereka bersendiri.

Apakah lagi yang tinggal untuk mereka saat tanah air mereka sudah hampir 70 tahun dijajah? Penjajah dan sekutunya mempunyai banyak senjata; apakah yang orang Palestin ada? Saat mereka tak ada apa-apa, mereka datang ke Malaysia mencari keamanan dan kemakmuran. Mereka bersahabat dengan kita, kita bersahabat bahkan menyokong mereka apa adanya.

Baru kelmarin (Rabu, 26 Julai), Hassan Radwan, seorang warga Palestin yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, menyertai Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2017 bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia. Beliau layak ke pentas akhir dan mendapat tempat ketiga bagi kategori tersebut.

Masih segar dalam ingatan. Beliau dahulu pernah disiarkan bercakap dengan Astro AWANI, meminta bantuan rakyat Malaysia terhadap rakyat Palestin. Kita mesti bantu mereka. Akan tetapi, Palestin sangat jauh dari Malaysia. Apa yang kita harus buat? Kita jangan berdoa sahaja, kita mesti bantu mereka.

Semalam (Khamis, 27 Julai), kawan-kawan saya mengadakan perhimpunan aman mengutuk insiden terkini yang menimpa Masjid al-Aqsa di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat. Apa yang Kedutaan Amerika Syarikat boleh lakukan? Tetapi, sekurang-kurangnya mereka yang mengadakan perhimpunan aman membangkitkan kesedaran mengenai situasi terkini di Palestin.

Hujung tahun lepas, Dato’ Seri Ramlan Ibrahim, Duta Besar Malaysia di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ketika itu, menghidupkan semula usul mengutuk pembinaan penempatan haram baharu oleh penjajah di atas tanah Palestin, yang asalnya ditarik balik. Usul tersebut akhirnya disetujukan dan menjadi resolusi.

Israel memang dan telah tidak mengendahkan banyak resolusi yang dikeluarkan oleh PBB. Tetapi, sekurang-kurangnya, kita berjaya menarik perhatian dan pendirian sebenar dunia terhadap apa-apa yang berlaku di bumi Palestin.

Jangan kita lupa, sabda Rasulullah SAW, “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehinggalah dia mencintai saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri.” Palestin itu saudara kita dan negara kita, Malaysia. Tetapi, kita tidak boleh berjuang untuk mereka bersendirian. Malaysia memerlukan negara-negara Islam yang lain untuk memperjuangkan Palestin.

Negara-negara Arab, sampai ke hari ini, masih bergaduh kerana prinsip dan pendirian Qatar terhadap dasar negaranya sendiri. Apalah sangat yang Qatar telah lakukan berbanding apa yang sedang dan masih berlaku di Palestin? Selagi mana negara-negara Islam dan rakyat-rakyatnya gagal bersatu, selagi itulah Masjid al-Aqsa kekal di tangan penjajah.

Oleh itu, persaudaraan harus bermula dari diri kita dan sekeliling kita terlebih dahulu. Satu-satunya persahabatan di dunia ini yang Allah SWT abadikan dalam al-Quran adalah persahabatan Rasulullah SAW dan para Sahabat Baginda.

Firman Allah SWT, “Muhammad itu Pesuruh Allah; dan sesiapa pun yang bersama Baginda tegas ke atas orang-orang kafir dan berkasih sayang sesama mereka.” Malulah kita jikalau kita tidak boleh mencontohi Rasulullah SAW dan para Sahabat dalam persahabatan.

Begitulah juga dengan perjuangan. Saudara dan saudari masih di bangku persekolahan; saya pula masih di bangku universiti. Kita tak mampu untuk pergi ke sana, berjuang bersama mereka. Maka, di sekolah inilah kita meneruskan perjuangan.

Jangan lagi biarkan mereka yang berada di luar pagar sekolah memandang kita biasa-biasa. Kita mesti menjadi luar biasa. Warga Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu (SMKSP) mesti mempunyai keperibadian positif dan unggul. Warga SMKSP juga mestilah juga cemerlang dalam akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan.

Jangan kita menuntut ilmu di sekolah ini hanyalah kerana ingin berjaya dan cemerlang dalam peperiksaan. Hakikatnya, kita masih mempunyai jalan yang panjang dalam kehidupan. Kita hidup untuk meneruskan perjuangan, mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Sudah-sudahlah kita melakukan perkara-perkara yang sia-sia. Rakyat Palestin tidak ada masa untuk itu semua, melainkan untuk melindungi Masjid al-Aqsa, Palestin serta rakyatnya daripada penjajahan dan penindasan berterusan oleh Israel dan bangsa Zionis. Kita mesti bantu dan sokong mereka, bukan sahaja dengan berdoa, tetapi juga sumbangan berbentuk kewangan serta segala yang boleh menimbulkan kesedaran dan sokongan yang lain di tanah air ini.

Untuk menyampaikan sumbangan ke tanah Palestin, dan kemudiannya kepada rakyatnya, juga bukan mudah. Tetapi, sekurang-kurangnya, kita telah berusaha meringankan beban, kesedihan dan kesengsaraan yang ditanggung oleh Palestin dan rakyatnya.

Kesimpulannya, kita hidup di Malaysia dalam keadaan yang serba bertuah, mewah dan indah. Tetapi, jangan kita lupa kepada Palestin dan Masjid al-Aqsa yang masih dijajah. Marilah kita berjuang untuk mereka apa adanya. Semoga Allah melindungi dan memelihara Masjid al-Aqsa, Palestin serta rakyatnya daripada segala marabahaya.

And let me close my maiden speech by wishing all of you in the language of the old, "May God keep us forever sheltered in the hollow of His hand."

Jumaat, 28 Julai 2017
Dewan Mutiara Bestari, SMK Sungai Pusu, Gombak, Selangor

-------

Note: The speech written here does not reflect the writer's exact words, but includes all main points of speech delivered on the time of delivery.

Photo courtesy of the writer and The Telegraph.

Comments