Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara


"Sesungguhnya kesejahteraan memerlukan kesatuan ummah untuk menjadi kenyataan. Sepanjang hayat, Rasulullah SAW tidak pernah berhenti menunjukkan ketinggian akhlak Baginda supaya dapat dijadikan ikutan sepanjang zaman. Justeru, kesatuan ummah dengan kesejahteraan negara yang dibina berlandaskan akhlak Nabi Muhammad SAW tidak boleh dinafikan."

Saudara sebangsa dan setanah air,
Mudah-mudahan direstui Allah SWT kesemuanya:

Saya berpesan kepada diri saya dan semua, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita sentiasa dilimpahkan rahmat, keampunan serta keredhaan Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Islam mementingkan kesatuan ummah dalam membina negara yang sejahtera. Dengan kesatuan, manusia dapat hidup dalam keadaan aman, damai, selamat, sejahtera dan bahagia untuk selama-lamanya. Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam Surah al-Hujuraat, ayat 13:

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu dapat berkenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”

Oleh yang demikian, salah satu daripada matlamat utama pengutusan para Rasul ialah untuk menghapuskan perpecahan dan mengabadikan kesatuan manusia. Itulah cabaran utama yang perlu dihadapi, iaitu mencegah penyakit perpecahan dan pertumpahan darah yang berpunca daripada kesesatan akidah.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Nabi Muhammad SAW diutus menjadi Rasul ketika berusia 40 tahun semasa Baginda SAW sedang beruzlah – yakni bersendiri – di Gua Hira. Dari saat itu, bermulalah perjalanan hidup Baginda SAW sebagai utusan Allah SWT yang terakhir dan pembawa rahmat kepada sekalian alam. Antara misi Baginda SAW adalah untuk menyelamatkan manusia sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 257:

“Allah Maha Melindungi orang-orang yang beriman. Dialah yang mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”

Berasaskan misi ini, Rasulullah SAW telah mempraktikkan kesatuan dalam kalangan masyarakat Islam sebagai wahana penting hidup bernegara. Sewaktu Kota Madinah dibuka, antara langkah awal penyatuan yang diusahakan ialah pembinaan masjid sebagai pusat sosial masyarakat dan program persaudaraan golongan Muhajirin dan Ansar. Tindakan ini membuktikan betapa pentingnya institusi masjid sebagai pusat perhubungan sesama ahli masyarakat. Nukman bin Basyir RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Perumpamaan orang-orang Mukmin itu dalam kasih-mengasihinya, sayang-menyayanginya dan santun-menyantuninya bagai suatu tubuh, yang apabila menderita satu anggota dari tubuh itu ikut menderita pula keseluruhan tubuh itu dengan tidak dapat tidur dan demam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Dalam konteks Malaysia hari ini, kesatuan boleh dilihat melalui sifat ketaatan kepada pemerintah dan kesepaduan dalam mematuhi pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah, yakni pegangan ajaran Islam yang sebenar berdasarkan panduan dan ajaran Nabi Muhammad SAW. Lantaran itu, kesatuan ummah menjadi aspek utama dalam membina sebuah negara yang berdaulat. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sentiasa menjadi petunjuk kepada peri mustahak ummah untuk bersatu-padu, memelihara kesejahteraan negara dan rakyat, agama dan umat.

Begitu pun, ketenteraman negara kadangkala tercabar oleh pelbagai perkara yang tidak disepakati oleh sebilangan ilmuwan, agamawan, ahli politik mahupun penggerak masyarakat lainnya. Walhal, yang diperselisihkan hanyalah soal cabang yang kecil tetapi memberi impak yang sangat besar terhadap kesatuan ummah dan kesejahteraan negara.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Sedarkah kita, kepincangan sebegini boleh melumpuhkan daya maju umat Islam. Jangan dibiarkan berlarutan, kelak keharmonian negara akan menjadi ancaman. Justeru, umat Islam perlu memandang serius akan inisiatif Kerajaan dalam mewujudkan kesatuan di negara ini demi memastikan keberterusan Malaysia menjadi sebagai sebuah negara Islam yang disegani kawan dan lawan.

Sidang Jumaat yang budiman,

Sempena Maulidur Rasul SAW, marilah kita bersama-sama menghayati kepentingan kesatuan ummah kepada kesejahteraan negara. Antara langkah yang boleh dilakukan ialah memperkukuh identiti ummah dengan akhlak Rasulullah SAW. Apabila akhlak Baginda SAW dijadikan panduan, kesatuan akan menjadi jambatan kesejahteraan. Sebaliknya, tanpa kesatuan, kesejahteraan sukar untuk diterjemahkan.

Sesungguhnya kesejahteraan memerlukan kesatuan ummah untuk menjadi kenyataan. Sepanjang hayat, Rasulullah SAW tidak pernah berhenti menunjukkan ketinggian akhlak Baginda supaya dapat dijadikan ikutan sepanjang zaman. Justeru, kesatuan ummah dengan kesejahteraan negara yang dibina berlandaskan akhlak Nabi Muhammad SAW tidak boleh dinafikan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr, ayat 7:

“Apa jua yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah ia, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya.”

Oleh hal yang demikian, sebagai tanda cinta kepada Rasulullah SAW, maka menjadi tanggungjawab setiap individu untuk memelihara kesejahteraan negara demi kesejahteraan generasi sekarang dan akan datang. Kesedaran begini mestilah sentiasa hidup dalam jiwa kita. Pada masa sama, di peringkat pentadbiran negara pula, sudah tentu banyak aspirasi baharu berasaskan prinsip Maqasid Syariah diterapkan selari dengan keperluan zaman secara berimbang. Dengan ini, dapatlah perbezaan dikecilkan dan tidak memberi kesan negatif kepada ummah.

Sidang Jemaah yang dimuliakan,

Di atas mimbar ini, saya ingin berpesan dan mengajak diri saya dan semua: marilah kita teruskan usaha memastikan kesatuan ummah dan kesejahteraan negara ini terjaga agar tidak digugat oleh mana-mana unsur pelampau. Keamanan, kedamaian, keharmonian, keselamatan dan kemajuan ummah tidak mungkin tercapai tanpa pengorbanan dan usaha gigih semua pihak ke arah mewujudkan dan mengekalkan suasana tersebut hingga ke generasi akan datang.

Mengakhiri khutbah, marilah kita menghayati intipati khutbah sebagai pedoman di dalam kehidupan kita.

PERTAMA: Kesejahteraan negara amat bergantung pada kesatuan ummah.

KEDUA: Umat Islam perlu mencerminkan identiti Islam yang sebenar dengan mengenali dan menjiwai personaliti Nabi Muhammad SAW.

KETIGA: Kesatuan ummah dan kesejahteraan negara memagar ummah daripada ancaman pihak pelampau.

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar.” (Surah at-Taubah, ayat 128 dan 129)

Jumaat, 1 Disember 2017
Masjid Baru al-A'laa, Kampung Lokub, Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.
Khutbah terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan suntingan.

Comments