Membelek "Surat Cinta untuk Starla"


“Surat Cinta untuk Starla” bukanlah datang dari seorang kekasih bernama Hema, bukan juga rahsia bagi mereka yang pernah mendengar mahupun membacanya. “Surat Cinta untuk Starla” merupakan sebuah lagu nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Virgoun (2016) yang didedikasikan untuk anaknya yang bernama Starla.

Untuk menulis sekeping “Surat Cinta untuk Starla”, meski hanyalah beberapa baris dan kata, bukanlah perkara yang mudah bagi Virgoun sendiri. Lebih kurang lapan tahun masa diambil untuk menjadikan “Surat Cinta untuk Starla” bukanlah sekeping surat cinta yang biasa, tetapi sehelai warkah bahkan sebuah karya yang sarat dengan makna.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa “Surat Cinta untuk Starla”, apa pun caranya surat cinta itu dikarang mahupun disampaikan, adalah tentang cinta lelaki terhadap wanita. Walaupun begitu, mesej yang tersirat di sebalik surat cinta tersebut sangat menyentuh hati sesiapa yang mendengar, membaca mahupun menghayatinya, termasuklah diri yang membelek dan menulis semula pemahaman diri terhadapnya.

Pertemuan pertama, sifat zahir seseorang yang dicintai mahupun mimpi tentang masa hadapan, meski menyumbang kepada semaraknya sebuah cinta, tidak semestinya menjamin keberterusan sebuah hubungan yang didirikan atas rasa cinta. Hakikatnya, cinta bukanlah sesuatu yang kekal abadi; yang kekal abadi hanyalah Allah SWT yang menciptakan cinta.

Setiap permulaan ada pengakhiran, dan setiap yang bermula pasti akan berakhir; begitulah keadaan cinta. Tiada siapa yang menghendaki noktah yang terancang mahupun tiba-tiba bagi sebuah cinta. Begitu pun, jikalau cinta tidak berakhir kerana diri kita sendiri, cinta tetap akan berakhir kerana berakhirnya sebuah kehidupan. Selagi hayat dikandung badan, kita berikan yang terbaik kepada orang yang kita cintai. Selagi masih ada cinta, kita tunaikannya dengan kesungguhan dan ketekalan.

Pada ketika kita saksikan pengakhiran sebuah cinta, walaupun kita berduka cita, kita pasti berterima kasih kepada diri kita sendiri dan kepada Allah SWT yang mengizinkan cinta. Meski tidak puas mencintai, sekurang-kurangnya kita telah memberikan yang terbaik kepada cinta dan orang yang kita cintai meski kita terpaksa mengorbankan diri sendiri dan segala yang dimiliki.

Apa yang lebih penting, sama ada masih adanya cinta mahupun setelah berakhirnya cinta, kita berserah dan terus berdoa kepada Allah SWT yang menciptakan cinta setelah kita berusaha untuknya; kerana tujuan akhir kehidupan seorang insan adalah untuk mendapatkan redha dan kasih sayang Allah SWT yang, di hari akhirat nanti, akan membawa kita ke Syurga.

Comments