Mempertahankan Baitulmaqdis


"Kini, Baitulmaqdis bukan lagi menjadi perjuangan rakyat Palestin, tetapi menjadi tanggungjawab semua umat Islam seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Kita bimbang, jika perkara ini terus berlaku, kekacauan di bumi Palestin akan terus berlaku, bahkan satu bentuk radikalisme dan ekstremisme baharu yang lebih besar akan terbentuk yang kelak akan mengakibatkan ancaman keselamatan yang lebih buruk di seluruh dunia."

Saudara sebangsa dan setanah air,
Mudah-mudahan direstui Allah SWT kesemuanya:

Saya berpesan kepada diri saya dan semua, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita sentiasa dilimpahkan rahmat, keampunan serta keredhaan Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Baitulmaqdis (atau nama lainnya, Jerusalem) merupakan salah satu daripada tiga tempat yang paling suci buat umat Islam. Baitulmaqdis turut dikenali dengan gelaran al-Quds as-Syarif, yakni tempat yang suci.

Untuk memahami kesucian bandar ini, seseorang itu perlu memahami terlebih dahulu tiga prinsip asas yang menunjangi keimanan. Pertama, kepercayaan bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah; kedua: kepercayaan bahawa petunjuk Allah disampaikan menerusi Nabi-nabi dan Rasul-rasul-Nya yang terpilih; dan ketiga: kepercayaan bahawa wujudnya kehidupan selepas mati, hari pembalasan serta Syurga dan Neraka.

Dalam konteks mempertahankan Baitulmaqdis, prinsip kedua mempunyai hubungan langsung dengan kecintaan dan komitmen kita terhadapnya. Perlu kita ketahui bahawa kesucian bandar ini menurut Islam adalah pada realiti sejarah keagamaannya. Ya, bandar itu menjadi saksi kepada kehidupan dan pekerjaan para Nabi dan Rasul. Bandar itu jugalah tempat mereka menerima wahyu Allah SWT secara berulang-ulang.

Jika Makkah dan Madinah menjadi bandar-bandar yang diberkati di dalam Islam kerana kaitannya dengan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS serta Nabi Muhammad SAW, maka Baitulmaqdis juga sedemikian; apatah lagi jikalau bandar tersebut dikaitkan dengan para Nabi dan Rasul yang lain seperti Nabi Daud, Nabi Sulaiman dan Nabi Isa AS.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Berdasarkan kepada status agama dan teologi, Baitulmaqdis menduduki tempat yang sangat istimewa di dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW. Di sinilah Baginda, sewaktu ketika dahulu, berdiri mengerjakan solat dengan menghadap ke arah Baitulmaqdis. Di sini jugalah tempat terakhir perjalanan Israk dan Mikraj Baginda sebelum naik ke langit. Firman Allah SWT dalam Surah al-Israk, ayat 1:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

Selepas melalui semua peristiwa ini, Nabi Muhammad SAW kembali ke Makkah. Peristiwa Israk dan Mikraj penuh dengan tanda-tanda dan petunjuk yang menakjubkan sehingga ramai pemikir Islam, pengkaji mistik dan penyair membuat pelbagai tafsiran yang mendalam dan berbeza. Begitu pun, kesimpulannya tetap satu dan penting: Baitulmaqdis merupakan contoh kepada ketaatan dan hubungan Iman setiap Muslim.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Baru-baru ini, kita telah dikejutkan dengan perisytiharan Presiden Amerika Syarikat yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ‘ibu kota’ Israel dan arahannya untuk memindahkan kedutaan negaranya ke sana. Hakikatnya, tindakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyampaikan hasrat bangsa Yahudi Israel merampas kembali Baitulmaqdis dari tangan umat Islam Palestin, bahkan dari tangan umat Islam seluruhnya.

Walaupun perisytiharan tersebut bertepatan dengan Seksyen 3 (a) (2), Akta Kedutaan Baitulmaqdis 1995 (Amerika Syarikat) yang dikukuhkan pula dengan Resolusi Senat 176 (Amerika Syarikat) bertarikh 5 Jun 2017, perisytiharan tersebut tetap bertentangan dengan norma dan undang-undang antarabangsa, termasuklah enam buah Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, salah satunya adalah Resolusi 476 bertarikh 30 Jun 1980.

Malah, perisytiharan ini, yang bertujuan untuk melebarkan kekuasaannya, boleh dianggap sebagai rampasan, penjajahan, serta pencabulan terhadap hak asasi manusia. Perkara ini mengingatkan kita akan firman Allah SWT dalam Surah al-Israk, ayat 4:

“...dan Kami katakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau-lampau.”

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Kerosakan yang pertama dilakukan oleh bangsa ini ialah mereka melakukan kekejaman dan kehancuran dengan mengkhianati perjanjian yang telah dibuat, bahkan sanggup pula membunuh para Rasul dan Nabi yang diutuskan oleh Allah SWT. Manakala kerosakan kedua terkandung dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Israk, ayat 6:

“Kemudian Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepadamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak-pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.”

Dr. Fadhal Hassan ‘Abbas dari Universiti Jordan, dalam kitabnya tentang Israk dan Mikraj, menafsirkan bahawa kerosakan kedua ini disokong dengan 4 perkara. Pertama, bangsa Yahudi akan mendapat sebuah negara untuk tempat tinggal (Baitulmaqdis); kedua, kedudukan ekonominya kukuh; ketiga, keturunannya ramai; dan keempat, pasukan tenteranya juga ramai. Justeru, hari ini mereka tidak teragak-agak untuk mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai pusat pentadbiran negara mereka bahkan bakal menjadi Pusat Pentadbiran Dunia bagi bangsa Yahudi.

Sebagai tanda protes kita terhadap perkara ini, semua umat Islam perlu bersatu suara dan tegas untuk memastikan bumi Baitulmaqdis terus terpelihara maruahnya. Kini, Baitulmaqdis bukan lagi menjadi perjuangan rakyat Palestin, tetapi menjadi tanggungjawab semua umat Islam seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Kita bimbang, jika perkara ini terus berlaku, kekacauan di bumi Palestin akan terus berlaku, bahkan satu bentuk radikalisme dan ekstremisme baharu yang lebih besar akan terbentuk yang kelak akan mengakibatkan ancaman keselamatan yang lebih buruk di seluruh dunia.

Bagi memastikan hasrat ini tercapai, saya ingin memberi peringatan tegas kepada semua umat Islam di negara ini, khususnya diri saya sendiri dan jemaah masjid ini, agar tidak terbawa-bawa dengan budi buruk dan tingkah laku negatif sehingga mendatangkan kemudaratan kepada pihak lain. Sebaliknya, marilah kita bersama-sama bertindak dengan akal yang waras dan hati yang suci, berpandu kepada ajaran Islam yang cintakan kedamaian dan kesatuan.

Sidang Jumaat yang budiman,

Pada masa yang sama, kita perlu tegas dan berpegang dengan satu gagasan yang mempunyai dasar yang jelas serta strategi yang tuntas yang akan membawa Malaysia ke arah yang lebih dinamik, maju serta berdaya saing berpaksikan prinsip Maqasid Syariah di samping melaksanakan pendekatan Wasatiyyah. Mudah-mudahan, negara ini beroleh keamanan, kebahagiaan, kemakmuran dan kesejahteraan di samping mencapai martabat baldatun toyyibatun wa Rabbun ghafuur.

Mengakhiri khutbah, saya ingin ingin mengajak diri saya dan semua untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita.

Pertama: Baitulmaqdis mempunyai hubungan langsung dengan kecintaan dan komitmen umat Islam terhadapnya.

Kedua: Baitulmaqdis menjadi satu contoh kepada ketaatan dan hubungan Iman setiap muslim.

Ketiga: Tindakan menceroboh tanah Baitulmaqdis merupakan suatu bentuk rampasan, jajahan dan pencabulan kepada hak asasi manusia, norma serta undang-undang antarabangsa.

“Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk); serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): "Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana.” (Surah al-Israk, ayat 107 dan 108)

Jumaat, 8 Disember 2017.
Masjid Nurul Ikhwaniah, Kampung Berungis, Tuaran, Sabah.
Khutbah terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan suntingan.

Comments