Mengembalikan Permuafakatan


“Muafakat itu berkat. Muafakat itu sepakat.” Begitulah Muafakat Johor. Sayangnya, muafakat bukannya milik Johor mahupun Kedah semata-mata. Tanpa menjejaskan Muafakat Johor dan Muafakat Kedah, harus kita katakan bahawa muafakat itu milik kita semua. Kerana muafakat itu milik semualah, adalah menjadi peranan kita bersama, dari Padang Besar ke Tanjung Piai, dan dari Tanjung Datu ke Pulau Banggi, untuk mengembalikan dan menyerlahkannya semula ke dalam kehidupan kita.

Tidak dapat dinafikan bahawa, setiap kumpulan insan mempunyai permuafakatannya yang tersendiri. Setiap permuafakatan pula mempunyai visi, misi, falsafah, objektif dan pelan strategiknya yang tersendiri. Tidak perlu kita melihat kepada parti-parti politik yang sentiasa bertakhta di minda dan jiwa pejuang dan penyokongnya serta badan-badan bukan kerajaan, terutamanya yang berskala besar, yang sentiasa membawa hasrat, harapan dan pendekatan yang nampak hampir sama tetapi berbeza.

Cukuplah kita melihat kepada organisasi akar umbi seperti JKKK di kampung, JKDB di pekan, JMC di perumahan bertingkat serta persatuan penduduk di perumahan tidak bertingkat. Di peringkat yang tinggi sedikit, terutamanya di Semenanjung Malaysia, kita ada Jawatankuasa Perwakilan Penduduk yang dipengerusikan oleh seorang ahli pihak berkuasa tempatan. Di luar skop kependudukan, kita ada PIBG di sekolah serta Jawatankuasa Kariah di masjid.

Hakikatnya, semua permuafakatan yang wujud di negara kita, apa pun namanya, siapa pun yang membarisinya dan menganggotainya, masih ada satu permuafakatan yang dipertanggungjawabkan. Itulah Malaysia, tanah tumpahnya darah kita semua. Wujudnya Malaysia di peta dunia pada tahun 1963 adalah hasil permuafakatan pemimpin Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah pada hari ini), Sarawak serta Singapura (yang bernegara sendiri sejak tahun 1965). Masing-masing mewakili rakyat masing-masing menandatangani Perjanjian Malaysia 1963.

Malaysia tidak akan wujud tanpa permuafakatan. Untuk mendapatkan permuafakatan bagi sebuah negara Malaysia bukannya mudah, lebih susah lagi untuk menjaganya setelah mendapatkannya. Ramai dalam kalangan kita mutakhir ini, secara sedar mahupun tidak, berfikir bahawa permuafakatan negara hanyalah tanggungjawab menteri, wakil rakyat serta ahli politik semata-mata. Walhal, permuafakatan negara merupakan tanggungjawab kesemua rakyat Malaysia.

Permuafakatan bukannya tentang berjuang untuk sesuatu parti politik serta manifestonya, apatah lagi untuk mempertahankan kerajaan semasa serta tindak-tanduknya. Permuafakatan adalah mengenai titik persamaan yang mesti dicari oleh rakyat di tengah-tengah perbezaan. Titik persamaan itulah yang akan membolehkan rakyat terus-menerus berbudi bahasa serta mengamalkan nilai murni. Titik yang sama jugalah yang akan membolehkan perpaduan dan integrasi nasional bertempat di hati negara secara berterusan.

Benar, sukan-sukan berprestij tinggi telah sedikit sebanyak memberi nafas baru kepada permuafakatan negara. Namun begitu, titik persamaan tidak harus wujud dalam bidang sukan semata-mata. Setiap bidang yang membumi di Malaysia, sama ada bidang politik, ekonomi kebudayaan mahupun pendidikan, harus ada titik persamaan tidak kira berapa banyak titik perbezaan yang ada. Kerana Malaysia berdiri di atas permuafakatan, setiap tindak-tanduk rakyatnya mestilah disertai dengan permuafakatan.

Malangnya, harapan untuk mengembalikan mahupun memperbaharui dan mengekalkan permuafakatan tidak harus disandarkan kepada keseluruhan rakyat. Oleh itu, kita kembalikan harapan tersebut kepada diri kita sendiri. Atas keyakinan bahawa setiap insan dilahirkan dan dibesarkan dalam dunia bernegara, berbangsa dan beragama, bersih dan suci minda dan jiwa, tinggi budi pekertinya, indah bahasanya, marilah kita semarakkan kembali permuafakatan, bukannya untuk menghancurkan rakyat dan negara, tetapi untuk memperkukuhkan serta memajukan kedua-duanya. Kita mainkan peranan kita masing-masing untuk menjernihkan perbezaan, menemukan titik persamaan, menyemarakkan permuafakatan, memperkuatkan semangat kemasyarakatan. Bulat air kerana pembetung, bulat masyarakat kerana muafakat.

Comments