Bersyukur Bertambah Nikmat


"Negara ini telah memilih jalan yang berbeza dengan mengangkat perpaduan dalam kepelbagaian, keterangkuman dan kesaksamaan sebagai asas utama. Namun, kepelbagaian ini perlu diurus dengan hikmah dan bijaksana supaya keterangkuman dan perpaduan yang lebih jitu dapat direalisasikan."

Saudara sebangsa dan setanah air,

Selamat ulangtahun Bandaraya Kota Kinabalu ke-18. Mari kita ambil kesempatan pada hari yang mulia ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa. Dengan izin dan rahmat-Nya, kita masih dikurniakan kesempatan untuk meneruskan kehidupan di bandar raya ini, berbakti kepada negara dan rakyat, agama dan umat.

Pada masa yang sama, marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, dengan melaksanakan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan kejadiannya. Dengan pengurniaan berupa akal fikiran dan juga nafsu, manusia menghadapi cabaran untuk mempertimbangkan setiap perkara dan menentukannya dalam radar keredhaan Allah SWT ataupun sebaliknya. Justeru, dalam melaksanakan semua tindak-tanduk tersebut, kita sangat memerlukan pertolongan antara satu sama lain di samping tunjuk pandu hidayah Allah SWT.

Keperluan kepada bantuan orang lain merupakan Sunnatullah yang dapat memeriahkan pengimarahan bumi ini dengan pelbagai warna-warna kehidupan berteraskan landskap kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan sosial rakyat dengan sulaman kemajmukan bangsa yang menjadi keunikan negara ini. Perkara ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hujuraat, ayat 13:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Keharmonian sebuah masyarakat itu sangat penting untuk dibangunkan. Walaupun begitu, kita tidak dapat menafikan bahawa untuk mewujudkan kesatuan dan perpaduan dalam sebuah negara berbilang agama dan budaya merupakan suatu perkara yang mencabar. Ada sesetengah negara yang mempunyai masyarakat majmuk telah melaksanakan konsep asimilasi sepenuhnya untuk membentuk bahkan memaksakan sebuah identiti kebangsaan tunggal.

Sebaliknya, negara ini telah memilih jalan yang berbeza dengan mengangkat perpaduan dalam kepelbagaian, keterangkuman dan kesaksamaan sebagai asas utama. Namun, kepelbagaian ini perlu diurus dengan hikmah dan bijaksana supaya keterangkuman dan perpaduan yang lebih jitu dapat direalisasikan.

Marilah kita berganding bahu, bersama-sama membantu negara melestarikan pembangunan fizikal bagi membangunkan sebuah bandar yang ceria, persekitaran yang indah dan bersih, kemudahan tempat tinggal yang teratur, terancang, kondusif dan selamat, serta sistem pengangkutan yang sistematik, seterusnya membangunkan sumber manusia yang produktif dan terus berkembang dan dimanfaatkan ke tahap paling maksimum.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Segala nikmat keceriaan yang dikecapi hari ini datangnya daripada kesyukuran dan keikhlasan seseorang kepada negara yang tercinta. Hakikatnya, kesyukuran terhadap pelbagai nikmat yang Allah kurniakan merupakan adanya bukti kejujuran neraca pertimbangan di dalam hati manusia. Lantaran itu, sesuatu yang baik disyukuri kerana kesyukuran merupakan suatu balasan yang tabii mengikut fitrah yang lurus.

Selain itu, hati yang bersyukur kepada Allah menjadi bukti betapa dekatnya seseorang itu dengan Allah SWT. Kesannya, mereka tidak akan mengotorkan hatinya dengan sifat sombong terhadap orang lain dan tidak akan menggunakan nikmat tersebut bagi tujuan yang negatif seperti penindasan, tindakan yang kotor dan kerosakan. Perkara ini sekaligus mendorong manusia melakukan amalan soleh. Dengan hal yang demikian, dapatlah nikmat itu disuburkan dan bertambah keberkatannya. Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim, ayat 7:

“...dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Untuk menjana nilai tambah sifat syukur ini, saya ingin memberi penekanan kepada beberapa perkara sebagai garis panduan untuk kita penuhi sebagai pelengkap warga madani. 

Pertama, mempunyai pemikiran yang bertamadun. Dalam erti kata yang lain, kita hendaklah mempunyai pemikiran positif yang seiring dengan kemajuan dan pembangunan fizikal yang sedang dikecapi. Justeru, kita wajib mengelakkan diri daripada bersikap dengki, prejudis dan berprasangka buruk kepada orang lain yang menyalahi ketamadunan agama dan bangsa.

Kedua, mempunyai semangat kebersamaan yang tinggi. Kita perlu sedar bahawa membina warga masyarakat yang saling bekerjasama dan bersatu-padu bukanlah suatu perkara yang mudah. Walaupun banyak usaha dan inisiatif yang dimainkan oleh agensi kerajaan dalam mengadakan kempen perpaduan dan menyemai sikap bantu-membantu, namun sekiranya masyarakat tidak berubah, masih bersikap dangkal, mengadu domba, dendam kesumat dan beramal dengan pelbagai lagi sifat mazmumah, nescaya kita masih belum mencapai hasrat yang diimpikan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 2:

“...dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perlakuan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Ketiga, meningkatkan penghayatan Islam dalam kehidupan. Dalam memenuhi ciri ini, kita dituntut untuk sentiasa beriltizam dalam melaksanakan segala amalan agama merangkumi segenap aspek dan lapangan seiring dengan kehendak syariat.

Tuntasnya, ketiga-tiga ciri tersebut dapat meneguhkan jati diri golongan yang bersyukur dalam mendepani sebarang cabaran ke arah sebuah negara yang baik.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Mengakhiri khutbah, marilah kita renungi intipati-intipati penting yang berikut sebagai pedoman dalam kehidupan kita.

Pertama: Kita memerlukan pertolongan antara satu sama lain di samping tunjuk pandu hidayah Allah SWT sebagai satu umat yang sederhana dan progresif.

Kedua: Kesyukuran menambahkan nikmat dan mengekalkan keceriaan rakyat dan negara.

Ketiga: Rakyat dan pemimpin hendaklah sentiasa bekerjasama dalam usaha mengekalkan keceriaan dan kesejahteraan negara.

“...dan tidak ada satu jiwa pun yang akan mati melainkan dengan izin Allah pada waktu yang telah ditentukan. Dan sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan Akhirat, Kami berikan bahagiannya dari balasan Akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang yang bersyukur.” (Surah Ali Imran, ayat 145)

Jumaat, 2 Februari 2018.
Masjid al-A'laa, Kampung Lokub, Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.
Khutbah terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan suntingan.

Comments