Berterima Kasih kepada Bandar Raya Kota Kinabalu


Alhamdulillah. Hari ini, genaplah 18 tahun Kota Kinabalu menjadi bandar raya keenam di Malaysia dan satu-satunya bandar raya yang wujud di negeri Sabah.

Kota Kinabalu, pada asalnya, hanya sebuah kawasan penempatan yang dikenali sebagai Jesselton. Jesselton hanya berkembang selepas kurun ke-18 menjadi sebuah pekan, membentuk pula sebuah daerah penuh, dijadikan sebuah perbandaran pada 1 Januari 1979 dan mendapat pula taraf bandaraya pada hari ini dalam tahun 2000.

Sesungguhnya perjalanan Kota Kinabalu mencari serta melestarikan keamanan dan kemakmuran bukanlah mudah dan singkat. Banyaknya darah dan air mata yang jatuh ke bumi, banyak jugalah harta dan nyawa yang dikorbankan, begitulah banyaknya juga masa dan tenaga yang dikerahkan, hanya untuk bandar raya ini dan penduduknya, juga untuk negara dan negeri kita. 

Nenek moyang kita telah saksikan jatuh dan bangun, suka dan duka bandar raya ini serta penduduknya. Begitulah juga para pemimpin dan penggeraknya. Pesanan kepada generasi masa kini dan akan datang, bukalah dan hayatilah lembaran sejarah, pasti kita akan temui apa ertinya perjuangan dan pengorbanan mereka semua kepada bandar raya ini serta penduduknya.

Sempena hari yang bersejarah ini, dengan doa dan ingatan kita, mari kita rakamkan terima kasih kita yang setulusnya dan setinggi-tingginya kepada mereka semua. Dengan izin Allah SWT, dan dengan berkat perjuangan dan pengorbanan mereka semua, Kota Kinabalu terus berdiri sebagai sebuah bandar raya yang unggul di Malaysia.

Banyak faktor telah dan masih menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran Kota Kinabalu serta penduduknya. Selain industri pelancongan yang rancak, turut menyumbang adalah pembangunan fizikal yang pesat, pemberdayaan ekonomi yang mapan, perpaduan masyarakat yang sarat dengan kepelbagaian dan kesederhanaan, hubungan baik antara pemimpin dan rakyat, serta penglibatan pelbagai pihak berkepentingan domestik dan antarabangsa dalam memacu kemajuan dan kestabilan bandar raya, negeri dan negara.

Sesungguhnya faktor-faktor tersebut mencerminkan manifestasi kesyukuran kita ke hadrat Allah SWT atas segala kurnia-Nya kepada bandar raya kita, negeri kita dan negara kita. Faktor-faktor itu juga, pada masa yang sama, melambangkan rasa bertuah dan bangga kita kerana menjadi sebahagian daripada tanah air yang diperintah dengan penuh amanah dan kasih sayang.

Dengan segala rasa itu, mari kita berharap, semoga semangat perpaduan, kekitaan, kebersamaan dan cinta akan tanah air akan tetap teguh di dalam diri kita semua, seraya berdoa kepada Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa, semoga Kota Kinabalu kekal perkasa, lebih aman, makmur dan sentosa sampai bila-bila, terus dijulang negara dan dunia di pelbagai bidang, tempat dan ketika.

Photo courtesy of JustRunLah! 

Comments