Pengajaran dari Krisis Pencerobohan Lahad Datu 2013


Bergegar hati saya ketika mendapat berita dua orang pegawai polis terkorban dalam pertempuran menentang pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah. Pada malam 1 Mac 2013, saya bersama rakan-rakan mengikuti kursus pemantapan pemimpin kolej-kolej kediaman Pusat Asasi, UIAM di Batu 12, Gombak.

Lebih awal daripada waktu saya menerima berita tersebut (tengah malam hari berikutnya), penduduk negeri Sabah di sebelah timur mahupun barat, di sebelah utara mahupun selatan, sudah ketakutan. Yang ditakuti bukan sahaja kehilangan harta benda dan nyawa, tetapi juga kehilangan negeri ini dari peta Malaysia.

Saya sendiri pernah berfikir setelah menerima berita tersebut, jikalau pengganas Sulu tidak dibendung, takut-takut mereka berjaya meredah ladang dan belantara untuk ke sebelah barat, menuju ke bandar raya, mengambil alih kerajaan negeri serta menurunkan Yang di-Pertua Negeri dari takhta.

Alhamdulillah, sangkaan saya meleset sama sekali. Mereka semua tidak lepas untuk ke sebelah barat negeri, malah tidak lepas untuk kembali ke Filipina kerana telah dikepung dan dibendung oleh pihak berkuasa Malaysia dan Filipina. Walaupun ekonomi dan sosial penduduk timur negeri terjejas, Kerajaan Negeri tetap berjalan seperti biasa. Yang di-Pertua Negeri dan isteri terus bertakhta di istana.

Ada tiga sebab mengapa semua perkara tersebut benar-benar tidak berlaku. Pertama, kerana kesiapsiagaan tahap tertinggi pasukan keselamatan dan pertahanan negara. Kedua, kerana keluhuran perlembagaan yang sentiasa menunjangi keberterusan negara. Ketiga, kerana doa tulus serta sokongan padu dari dalam mahupun luar negara.

Memang pahit untuk ditelan, negara kehilangan 9 orang anggota polis dan tentera sepanjang krisis pencerobohan Lahad Datu berlangsung dari 11 Februari hingga 24 Mac 2013. Tetapi, pengorbanan besar itulah yang membolehkan Sabah (dan sekaligus Malaysia) dikembalikan serta dikekalkan dalam keamanan dan kemakmuran seperti mana asalnya.

Pengorbanan itu jugalah yang membolehkan anak-anak negeri Sabah terus menyanyikan lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku dengan rasa syukur dan gembira, sambil melihat bendera negara serta negeri Sabah terus berkibar di serata negeri dengan megah dan bangga, bukanlah kerana negeri ini terkenal dengan perpaduan dalam kepelbagaian, tetapi kerana negeri ini kekal sebagai sebahagian daripada negara Malaysia yang berdaulat dan merdeka.

Pengorbanan yang sama jugalah telah mengeluarkan penduduk timur negeri dari belenggu keganasan berterusan. Walaupun kini pantai timur negeri dikawal oleh ESSCOM, murid-murid bebas untuk datang ke sekolah, menuntut ilmu dan kemahiran; para pelancong pula bebas untuk bersiar-siar ke tempat-tempat pelancongan; para peniaga pula bebas berjual beli barangan dan perkhidmatan dengan pengguna; umat Islam bebas beribadah di masjid dan surau; penduduk kampung dan pekan bebas melakukan apa sahaja aktiviti peribadi dan kemasyarakatan.

Dengan doa dan ingatan kita, kita berterima kasih kepada semua mereka yang telah mengorbankan diri untuk rakyat dan negara. Rasa tersebut benar-benar diterjemahkan dalam sambutan Hari Kebangsaan 2013 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur ketika rakyat dan pelancong bertepuk tangan, memberikan penghormatan kepada waris-waris mereka semua. Saya ada di sana ketika itu.

Walaupun begitu, kita tidak harus berterima kasih kepada mereka begitu sahaja. Hakikatnya, tugas rakyat untuk mempertahankan tanah air daripada anasir luar yang durjana merupakan tugas sepanjang hayat. Selagi hayat dikandung badan, selagi itulah kita berkewajipan memastikan negara dan rakyat terus menikmati keamanan dan kemakmuran.

Menjaga keamanan dan kemakmuran tanah air tidak semestinya dengan menghunus senjata kerana tidak semua mampu melakukannya. Namun, kita masih ada iman yang teguh, semangat patriotisme yang utuh, serta ilmu dan kemahiran yang berguna yang membolehkan kita melakukan tugas yang sama walaupun dengan jalan dan cara yang berbeza. Oleh itu, marilah kita gunakan segala yang kita ada untuk menjamin keberterusan tanah air kita. Jikalau bukan menerusi program pembangunan ekonomi atau pemulihan sosial, menerusi program galakan pendidikan dan kemahiran kepada kanak-kanak, remaja dan belia yang mendiami kawasan timur negeri.

Pada masa yang sama, mari kita terus berharap dan berdoa agar setiap penjuru tanah air kita dilindungi daripada segala marabahaya. Saya yakin, selagi kita terus berazam dan berdoa, dan selagi kita menggunakan segalanya yang kita ada untuk kesejahteraan tanah air, selagi itulah bendera negara dan negeri akan terus berkibar dengan megah dan bangga, selagi itu jugalah lagu kebangsaan dan negeri dinyanyikan dengan rasa syukur dan gembira, dan selagi itu jugalah rakyat akan terus menikmati perpaduan dalam kepelbagaian dalam keamanan dan kemakmuran.

Comments